JUARA bertahan tiga acara olahraga Para Sukma,Ikmal Fathillah bin Abu Arqam, menyasarkan untuk menyumbangkan pungutan pingat untuk kontinjen negara yang akan beraksi pada Sukan Para ASEAN, tahun depan.
Ikmal yang memenangi acara 100m, 200m dan 400m kategori T13 (kecacatan penglibatan) pada Para Sukma 2024 juga berharap dapat memperbaiki catatan bagi ketiga tiga acara berkenaan pada Para Sukma 2026.
Ikmal Fathillah, 21 berjaya menamatkan pengajian dalam Diploma Pengurusan Maklumat (IM) bersempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke 103 di Shah Alam baru-baru ini mahu menjadikan kejayaan menamatkan pengajian sebagai inspirasi untuk melakar kejayaan lebihbanyak.
“Perasaan hari ini sangat gembira sebab pertama kali berdiri di pentas graduasi, habiskan diploma dengan jayanya. Alhamdulillah,” kata Ikmal.
Menceritakan pengalamannya sepanjang Pengajian, beliau bersyukur dapat menamatkan pengajian walaupun berdepan masalah penglihatan yang dikenali sebagai Macula Degeneration, keadaan di mana beliau melihat tompokan hitam di titik tengah pandangan.
Sepanjang pengajian, beliau menyesuaikan cara pembelajaran dengan menggunakan slaid digital yang diperbesar pada skrin komputer riba dan telefon bimbit.
Bagi ujian, UiTM menyediakan tulisan besar dan memperuntukkan masa tambahan, di mana beliau mengambil masa tambahan satu jam dan tulisan dibesarkan sehingga saiz font 18.
Walaupun Ikmal adalah pelajar aliran Sains Tulen Agama, beliau memilih untuk mencabar diri bertukar ke bidang baru meski sedar akan kekurangan yang dihadapinya.
Semasa tempoh pengajian, beliau mengimbangi pembelajaran dan sukan mengikut jadual yang disusun termasuk latihan pagi sebelum kelas, dan latihan di lapangan pada sebelah petang.
Bercakap tentang impian jangka panjang, Ikmal bercita-cita untuk mewakili Malaysia satu hari nanti di pentas Paralimpik dan membawa pulang pingat untuk negara.
Buat masa ini, Ikmal sedang giat mempersiapkan diri untuk temasya Para ASEAN serta Sukma yang berlangsung tahun depan.
“Setakat ini, persiapan saya berjalan lancar namun saya perlu menyesuaikan diri dengan tuntutan pembelajaran di UiTM sungguhpun setakat ini saya dapat membahagikan masa dengan baik,” ujarnya.
Beliau juga berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang pendidikan dan kemudian berkhidmat sebagai guru pendidikan khas.
“Doakan saya sentiasa dan terus ada di sisi saya walaupun saya jatuh, mahupun di atas.” titip beliau kepada keluarga dan insan terdekat yang selalu menyokong.