DUA kapten skuad remaja negara, Datu Anif Isaac Datu Asrah dan Nuraqilah Maisarah Ramdan bakal berdepan situasi janggal apabila turun sebagai seteru dalam acara individu Kejohanan Badminton Remaja Asia di Surakarta, Indonesia (18-27 Julai).
Meskipun berpadu tenaga memimpin pasukan, mereka bakal berentap dalam beregu campuran apabila Datu Anif digandingkan dengan Dania Sofea Zaidi, manakala Nuraqilah bersama Loh Zi Heng.

Datu Anif Isaac Asrah mahu hadiahkan gelaran Asia buat skuad negara.
“Memang pelik bila fikir kami kapten bersama, tapi akan jadi lawan di gelanggang, tapi saya anggap ini cabaran profesional dan peluang untuk saya buktikan sesuatu,” kata Datu Anif yang juga pilihan kedua kejohanan, ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Bagi Nuraqilah pula, hubungan baik antara mereka tidak akan menjejaskan semangat juang masing-masing kerana persaingan sihat penting untuk melonjakkan prestasi.

“Saya dan Anif memang rapat sebagai rakan sepasukan, tapi bila atas gelanggang, saya kena fokus untuk menang sebab kami pun ada misi masing-masing dalam acara individu,” tegas Nuraqilah.
Mereka berdua akui saling mengenali kekuatan dan kelemahan masing-masing hasil latihan bersama di bawah jurulatih yang sama sepanjang persiapan ke kejohanan ini.

Noraqilah yang bergandingan dengan Loh Zi Heng memiliki rekod kemenangan yang baik ke atas Datu Anif Isaac-Dania Sofea.
“Tekanan sebagai pilihan kedua memang ada, tapi saya suka cabaran macam ni sebab ia beri saya motivasi lebih untuk sumbang pingat buat negara,” jelas Datu Anif dengan nada yakin.
Di sebalik kontradiksi sebagai kapten yang perlu bersatu dan pemain individu yang harus bersaing, kedua-duanya sepakat bahawa misi utama mereka tetap satu, memastikan Malaysia berada di podium tertinggi Asia.