JELAJAH Trofi Piala Shopee Kejuaraan Kelab ASEAN bakal melabuhkan tirainya hujung minggu ini dengan penutup yang dinanti-nantikan di Vanity Atrium, Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur, pada Ahad, selepas persinggahan di Singapura pada Sabtu.

Trofi yang menjadi simbol kebanggaan bola sepak serantau ini akan dipamerkan bersama kehadiran bintang bola sepak tempatan dan antarabangsa.

Acara ini akan bermula pada pukul 11 pagi hingga 5 petang, menampilkan bintang bola sepak tempatan seperti Safawi Rasid, Manny Ott, dan Declan Lambert, yang dijangka memeriahkan lagi acara ini.

Sebelumnya, bintang dari Lion City Sailors FC seperti Shawal Anwar, Hariss Harun, dan Song Ui-young akan menyertai peminat di Singapura.

Jelajah Trofi Piala Shopee  ini telah bermula sejak Ogos lalu di Hanoi sebelum singgah di Bangkok, Jakarta, dan kini tiba di destinasi terakhir, Kuala Lumpur.

Kejohanan ini menyaksikan perlawanan antara pasukan-pasukan kelab dari seluruh ASEAN yang kini sedang berlangsung di peringkat kumpulan dan akan berakhir pada 6 Februari 2025.

Piala hasil reka ciptaan pembuat trofi terkenal dunia, Thomas Lyte, melambangkan perpaduan ASEAN dengan reka bentuk unik yang menyerupai seberkas beras, sekaligus menggambarkan makanan ruji rantau ini dan hubungan kukuh antara negara-negara anggota

Peminat boleh menyaksikan dan bergambar bersama trofi secara percuma, manakala pas khas untuk sesi Meet & Greet adalah terhad dan boleh diperoleh melalui platform digital ASEAN United FC atau Shopee.