ACARA larian paling ikonik atas lebuh raya bakal kembali Ogos ini, namun bukan sekadar soal masa dan jarak yang menjadi keutamaan bagi penganjur bersama, Allianz Malaysia Berhad dan IJM Corporation, tanggungjawab menjaga keperluan spiritual peserta Muslim juga diberi perhatian serius.
Dalam sidang media IJM Allianz Duo Highway Challenge 2025 yang berlangsung di I.C.E Gallery @ Pantai Sentral Park hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif IJM Toll Division, Wan Salwani Wan Yusoff menegaskan bahawa kemudahan untuk solat Subuh tetap tersedia meskipun acara akan bermula seawal jam 4 pagi pada 3 Ogos nanti.
“Memang kawasan mula larian ini dekat dengan Sunway, dan kita ada masjid di situ. Tapi untuk peserta yang datang lebih awal sebelum Subuh, kita juga sediakan surau di Toh Plaza serta beberapa zon khas untuk bersolat,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa keprihatinan terhadap hal ini bukan perkara baharu, malah telah menjadi sebahagian rutin sejak penganjuran beberapa tahun lalu.
“Kami tahu peserta Muslim akan berhenti untuk menunaikan solat dan kemudian sambung larian. Itu satu perkara unik yang kita lihat di Malaysia gabungan gaya hidup aktif dan tanggungjawab agama,” tambahnya.
Tahun ini, penyertaan mencatat lebih 80% daripada sasaran hanya dalam tempoh singkat dan menurut pihak penganjur, kategori 21km menjadi pilihan utama peserta.
“Pada awalnya, ramai hanya sertai 10km, tetapi sekarang ramai yang mahu mencabar diri ke jarak lebih jauh. Perubahan ini sangat positif,” ujar beliau.
IJM Allianz Duo Highway Challenge bukan sekadar tentang kepantasan di atas lebuh raya, tetapi juga lambang keharmonian antara gaya hidup sihat dan keutamaan rohani. Bagi pelari Muslim, tiada alasan untuk culas dalam ibadah — kerana tempat sudah tersedia, dan masa sudah dirancang.