SKUAD hoki lelaki negara, Speedy Tigers, memulakan langkah menuju Kelayakan Piala Dunia 2026 apabila menjalani siri jelajah berintensiti tinggi di Perth, Australia, bermula 13 hingga 25 Januari ini sebagai persiapan terakhir sebelum beraksi di pentas dunia.
Sepanjang jelajah itu, Speedy Tigers dijadualkan mengharungi lima perlawanan mencabar termasuk tiga aksi menentang pasukan Thunderstick serta dua pertemuan berprofil tinggi menentang pasukan kebangsaan Australia, yang dijangka menguji tahap fizikal, tempo dan mental pemain pada tahap tertinggi.
Ketua jurulatih, Sarjit Singh, menegaskan siri jelajah berkenaan amat penting untuk membentuk kesiapsiagaan pasukan menjelang kejohanan kelayakan yang akan berlangsung di Ismailia, Mesir, dari 1 hingga 7 Mac depan, di mana Malaysia bakal berdepan cabaran China, Pakistan dan Austria dalam Pool B.

“Siri jelajah ini saya menggabungkan pemain senior dan pemain remaja di mana tiga daripada enam pemain yang dipanggil menjalani latihan akan bersama kami.
“Gabungan ini penting untuk memastikan keseimbangan pasukan selain memberi peluang kepada pemain muda mendapatkan pengalaman di peringkat senior,” katanya.
Seramai 22 pemain dibawa ke Perth, dengan setiap pemain memiliki peluang sama rata untuk merebut tempat dalam senarai akhir 20 pemain ke Mesir, bergantung kepada keupayaan mereka mengekalkan disiplin, kefahaman taktikal serta konsistensi prestasi sepanjang siri berkenaan.

“Siri jelajah ini juga akan digunakan sebagai platform untuk menguji pelbagai gandingan pemain, pendekatan taktikal dan strategi pasukan. Fokus kami adalah melihat siapa yang mampu memberikan tindak balas terbaik ketika berada di bawah tekanan,” jelas Sarjit, yang mengharapkan skuad negara mampu membawa pulang persiapan terbaik untuk mengharungi cabaran kelayakan Piala Dunia.