KETUA jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengakui tidak mempunyai padang latihan yang sesuai menjadi punca mereka tidak mampu menyaingi Johor Darul Ta’zim selain kehilangan beberapa tonggak utama menambah kesukarannya mencorak skuad yang mantap.

Bagaimanapun pengendali asal Singapura itu berpuas hati dengan permainan yang ditunjukkan para pemain yang diturunkan kerana berjaya menyaingi JDT walaupun sedar mereka berhadapan pasukan pelawat yang cukup berkualiti.

“Kita tidak ada padang latihan yang sesuai dan kami hanya berlatih di padang yang kecil dengan bermain corak futsal selama dua minggu ini dan ianya menggangu corak permainan kami selain tiga pemain yang tamat kontrak pada 30 November menambah kesukaran.

“Namun begitu saya sangat puas hati dengan persembahan meskipun kita tahu berhadapan lawan yang lebih kuat tetapi saya kesal kerana bolos gol awal dan minit akhir babak pertama kerana tahu kami mampu saingi mereka walaupun tanpa ramai pemain utama,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Fandi juga turut mengakui dia hanya mahu pemain yang jarang diturunkan bermain untuk penyokong yang hadir dan dia berpuas hati kerana para pemain ini menunjukkan prestasi yang baik untuk mengekang JDT.

“Saya suruh mereka yang jarang bermain tunjukkan yang terbaik dan main demi penyokong yang hadir ke stadium kerana ini adalah perlawanan terakhir kita di Kuantan musim ini.

“Sudah pasti tanpa pemain utama kerana kecederaan Kevin Ingreso dan Fadhli Shas menyukarkan kami dan juga dua tiga pemain pinjaman dari JDT tidak dapat diturunkan namun pemain yang ada bersungguh-sungguh bermain untuk para penyokong,” jelasnya.

Sri Pahang mengalami kekalahan ketiga berturut-turut tetapi akan menamatkan saingan liga di tangga kelima tanpa perlu menunggu keputusan perlawanan terakhir menentang Kuala Lumpur City FC dengan Fandi Ahmad tidak mendedahkan masa depannya bersama pasukan.