KETUA Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard menyambut baik kurniaan bernilai RM300,000 yang diberikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk kos penyelenggaraan padang selama 12 bulan.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mewujudkan geran Penambahbaikan Saliran dan Penanaman Rumput bernilai RM500,000 yang disediakan kepada semua negeri-negeri untuk menaik taraf stadium menjelang musim baharu Liga Malaysia 2024-25.

Stanley yang ditemui FLASH SUKAN ketika Mesyuarat Pengelolaan Liga Malaysia dan Taklimat Pengurusan Stadium dan Venue Liga Malaysia Musim 2024-25 di Iskandar Puteri mengakui meskipun TMJ adalah seteru diatas padang tetapi dia tetap mahu membantu meningkatkan mutu setiap pasukan yang bertanding.

Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard

“Pertama sekali saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Tunku Ismail yang melangkaui kapasitinya sebagai pemilik pasukan yang bertanding di peringkat tertinggi, dia mahu liga berada pada tahap yang lebih tinggi dengan setiap kelab mempunyai padang terbaik untuk meningkatkan corak permainan.

“Ianya hebat untuk mengenali seseorang yang sanggup meletakkan masa dan tenaganya untuk meningkatkan sukan ini disamping menjadikan kelabnya JDT semakin baik tetapi dia juga mahu melihat liga ini lebih meningkat,” katanya.

Stanley juga gembira dengan perjumpaan yang diadakan bersama-sama pihak berkepentingan dalam bola sepak negara dan berharap tawaran yang diberikan ini akan disambut dengan tangan terbuka oleh semua bagi memastikan kemajuan bola sepak Malaysia.

“KL City juga mengucapkan terima kasih kepada YB Hannah yang faham akan kepentingan sukan nombor satu negara dan Datuk Stuart yang mengadakan perjumpaan sebegini bagi menyelesaikan masalah teknikal yang sering dihadapi kelab berhubung stadium yang melibatkan banyak pihak berwajib.

“Inisiatif ini adalah permulaan dan dengan sokongan TMJ diharap semua pihak dapat melihat bagaimana perkara ini dijalankan sekaligus menaikkan mutu bola sepak negara,” jelasnya.

Kuala Lumpur City FC kini akan membuat tindakan selanjutnya bagi memastikan rumah mereka, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras dapat dinaiktaraf untuk mempunyai padang dan saliran yang lebih baik.

ARTIKEL BERKAITAN: TMJ setuju beri RM300,000 bagi penyelenggaraan padang setiap negeri