KEKALAHAN Manchester United dalam Piala FA bertambah perit apabila akaun X kapten pasukan, Bruno Fernandes, digodam lewat malam Ahad, mencetuskan pelbagai hantaran kontroversi termasuk seruan “menyingkirkan INEOS”.
Akaun media sosial Bruno yang memiliki 4.5 juta pengikut tiba-tiba aktif sekitar jam 11 malam waktu tempatan dengan beberapa hantaran berkaitan mata wang kripto sebelum beralih kepada sindiran terhadap prestasi United yang baharu tersingkir daripada Piala FA selepas tewas kepada Brighton.
Antara hantaran yang dimuat naik penggodam termasuk kenyataan bahawa United berada “dalam keadaan teruk”, selain mesej berbunyi “Let’s get rid of INEOS”, merujuk kepada pemilik bersama kelab itu.

Situasi itu memaksa Manchester United mengeluarkan kenyataan rasmi mengesahkan akaun Fernandes telah digodam dan meminta penyokong supaya tidak berinteraksi dengan sebarang hantaran atau mesej yang dikirim melalui akaun berkenaan.
Bruno sendiri jarang menggunakan platform tersebut, dengan hantaran terakhir sebelum insiden itu dibuat pada Oktober lalu ketika meraikan penampilan ke-300 bersama United. Antara hantaran terakhir sebelum akaun berkenaan dikawal semula ialah gambar kekalahan memalukan United 0-7 kepada Liverpool pada 2023.
Insiden itu bukan kali pertama membabitkan bintang bola sepak ternama apabila sebelum ini akaun X Kylian Mbappe turut digodam pada 2024, dengan penggodam memuat naik pelbagai hantaran berkaitan pemain dan kelab utama Eropah.