BINTANG muda, Lamine Yamal meledak dua gol bagi membantu pendahulu La Liga, Barcelona membenam Girona 4-1, awal pagi tadi.
Dalam pada itu, Atletico Madrid meraih kemenangan 3-0 ke atas Valencia untuk berkongsi mata di tangga kedua bersama Real Madrid.
Barca yang dikendali Hansi Flick kini sudah merekodkan lima kemenangan dalam lima perlawanan awal bagi kempen kali ini sekali gus mengubati kekecewaan pada dua pertemuan menentang Girona musim lalu.
Dua jaringan Yamal pada babak pertama meletakkan Barcelona di laluan tepat untuk meraih kemenangan sebelum Dani Olmo dan Pedri Gonzalez menambah derita pasukan lawan pada babak kedua.
Cristian Stuani berjaya mengurangkan defisit jaringan buat tuan rumah, yang pada musim lalu menamatkan kempen saingan di kedudukan ketiga.
Barcelona memperoleh momentum baharu di bawah bekas pengendali Bayern Munich dan Jerman, Flick yang setakat ini dilihat berjaya mempamerkan prestasi terbaik mereka.
“Saya fikir kamu boleh melihat keyakinan yang kami miliki dan apabila kami memperoleh bola, kami mempunyai kualiti untuk bermain dan mencipta peluang,” kata Flick.
“Saya rasa hari ini kami mempunyai banyak peluang untuk meledak satu atau dua lagi jaringan tetapi pada akhirnya, saya sangat gembira dengan prestasi ditunjukkan pasukan.”
Yamal, 17, dan penyerang Robert Lewandowski berganding bahu pada awal saingan sebelum bintang muda yang membantu Sepanyol meraih kejayaan di Euro 2024, memecah kebuntuan jaringan.
Pemain sayap itu berjaya melepasi gawang Girona yang dikawal Paulo Gazzaniga pada minit ke-30 sebelum meledak gol keduanya selang tujuh minit selepas itu.
“Kami bermula dengan sangat fokus, kami memberi tekanan kepada mereka – kami tahu apabila kami memberikan mereka ruang, kami akan berdepan masalah,” kata Flick.
“Kamu melihat gol pertama itu, ia sesuatu yang menakjubkan dari Lamine.”