KECEWA gagal kekal dalam corak permainan, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terpaksa terima hakikat terlepas peluang menamatkan musim 2022 dengan nota kejayaan.

Gandingan beregu lelaki profesional negara itu terpaksa akur tewas kepada gandingan Indonesia, Muhammad Ahsan-Hendra Setiawan di peringkat separuh akhir hari ini, dalam perlawanan sengit tiga set.

“Pada set pertama kami tenang, tak ikut permainan lawan dan berjaya mengelak dari bermain pukulan drive, jadi kami menang.

“Dalam set kedua pula, kami agak tergesa-gesa, melakukan banyak kesilapan dan Ahsan-Henda mendahului terlalu jauh,” kata Yew Sin, mengenai prestasi mereka di separuh akhir Kejohanan Jelajah Dunia Akhir yang berlangsung di Bangkok, Thailand.

Justeru, mereka harap memulakan musim baru Januari depan dengan baik.

“Pada awal musim ini, kami bermula dengan tidak baik namun sejak beberapa bulan lalu, prestasi kami baik dan saya harap berterusan lebih baik tahun depan,” kata Yew Sin lagi.

Pada separuh akhir itu, mereka tewas 21-17, 13-21, 19-21.