MASTER Malaysia 2024 bakal membuka tirainya di Axiata Arena Bukit Jalil dari 21 hingga 26 Mei 2024 ini dengan sambutan hangat apabila tiket kejohanan itu laris terjual terutama bagi pusingan suku akhir hingga akhir.

Menurut Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria penjualan tiket bagi kejohanan berstatus Super 500 itu mendapat respon positif terutama bagi kategori Platinum dan Premium, membuktikan Perodua bersama BAM sememangnya bakal menjanjikan pertarungan sengit kelompok 10 pemain terbaik dunia.

“Kita mendapat maklum balas luar biasa menerusi penjualan tiket kerana tiket Platinum dan Premium untuk perlawanan suku akhir, separuh akhir dan akhir laris dan berbaki tidak banyak untuk dibeli,” kata Norza.

Ujarnya, beliau menasihati peminat badminton supaya membuat pembelian segera terutamanya pada tiga hari pertama.

Tiket Platinum dan Premium bagi tiga hari terakhir hampir habis. -Tan Sri Muhammad Norza Zakaria, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Saya harap peminat badminton turut tidak melepaskan peluang membanjiri Axiata Arena pada tiga hari pertama untuk menunjukkan sokongan kepada pemain negara.

“Inilah peluang untuk peminat menyaksikan persembahan pemain ternama dunia yang melakukan persiapan ke Olimpik Paris,” katanya lagi.

Sementara itu, Norza berkata, seramai 294 pemain dari 25 negara menghantar penyertaan untuk Masters Malaysia 2024 manakala 21 daripadanya adalah pemain di bawah BAM.

Menurutnya, walaupun pusingan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 bagi badminton sudah berakhir, namun Masters Malaysia Masters tetap berjaya menarik penyertaan bintang dalam kelompok 10 terbaik dunia.

“Lima pemain kelompok 10 terbaik dunia bagi perseorangan lelaki mengesahkan penyertaan, termasuk wakil Denmark, Viktor Axelsen (no.1) dan Anders Antonsen dari Denmark (no.4), Li Shi Feng dari China (no.7), Kunlavut Vitidsarn dari Thailand (no.8), dan Loh Kean Yew dari Singapura (no.10), selain pemain negara Lee Zii Jia (no. 11), akan bersaing merebut gelaran.

Pearly Tan-M Thinaah muncul pilihan kedua beregu wanita manakala Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pilihan pertama beregu campuran di Masters Malaysia tahun ini.

“Manakala dalam perseorangan wanita, tiga pemain kelompok 10 terbaik dunia diketuai Han Yue(no. 7) dan Wang Zhi Yi dari China (no.9) dan Zhang Beiwen dari Amerika Syarikat (no.10), selain juara 2018 dari Thailand, Ratchanok Intanon (no. 11).

“Dalam beregu lelaki, bakal dicabar hebat Kim Astrup-Anders Rassmussen dari Denmark (no.4) dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (no.5) selain He Ji Ting-Ren Xiang Yu dari China (no.11). Beregu wanita bakal menyaksikan antara pemain Jepun, Kie Nakanishi-Rin Iwanaga (no.13) dan pasangan negara Pearly Tan-M Thinaah (no. 14).

“Beregu campuran pula menyaksikan pasangan negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (no.9) dan Mathias Christiansen-Alehandra Boje dari Denmark (no.10), sebagai pilihan utama, menghangatkan lagi perebutan kejuaraan,” katanya.

Pada edisi 2023, HS Pranoy dari India muncul juara perseorangan lelaki, Akane Yamaguchi dari Jepun (perseorangan wanita), Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan (beregu lelaki), Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea (beregu wanita) dan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand (beregu campuran).