PEMAIN import Sabah FC, Miguel Ángel Garrido Cifuentes atau lebih dikenali sebagai Cifu, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan penggantungan yang dikenakan ke atas dirinya susulan layangan kad merah dalam aksi final Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Insiden tersebut menyaksikan pemain berusia 35 tahun itu dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan, namun apa yang menjadi persoalan adalah penggantungan itu perlu dilaksanakan dalam saingan Liga Super dan bukannya dalam kejohanan Piala FA.

Akibat keputusan berkenaan, Cifu bakal terlepas dua aksi penting Liga Super bersama Sabah FC. Situasi ini nyata memberi kesan kepada perancangan pasukan, terutama ketika Sabah sedang berusaha mendaki kedudukan liga.

Cifu meluahkan rasa kecewanya menerusi satu hantaran di akaun Instagram peribadinya dengan mempersoalkan ketetapan peraturan yang menurutnya tidak konsisten. Beliau menyatakan kekeliruan mengapa penggantungan akibat dua kad kuning dalam kejohanan piala perlu dibawa ke saingan liga, sedangkan terdapat kes pemain lain menjalani hukuman dalam pertandingan yang sama mereka dikenakan kad.

“Secara jujur, saya tidak faham peraturannya,” tulis Cifu dalam hantaran tersebut, sambil membandingkan situasinya dengan kes pemain lain yang digantung dalam satu pertandingan dan menjalani hukuman dalam kejohanan yang sama, bukan merentasi pertandingan berbeza.

Cifu, yang berasal dari Sepanyol, merupakan antara tonggak import penting Sabah FC musim ini. Sepanjang bersama skuad Sang Badak, dia telah merekodkan dua gol dan satu bantuan gol, selain menyumbang pengalaman serta kepimpinan di bahagian tengah pasukan.


Kredit Gambar : Instagram Miguel Cifu