BEREGU wanita no.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah meraih emas bersejarah apabila menundukkan gandingan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari pada final Sukan SEA 2025 di Bangkok.
Pasangan ranking kedua dunia itu beraksi pada intensiti tinggi sebelum menang selepas 1 jam 26 minit dalam pertarungan sengit dengan keputusan 21-16, 19-21, 21-17 ke atas beregu ke-59 dunia berkenaan.
Kemenangan penuh emosi itu menyaksikan Pearly-Thinaah terus kebal apabila melebarkan rekod pertemuan kepada 4-0 ke atas Febriana-Meilysa.
Emas itu menamatkan kemarau pingat emas beregu wanita negara yang kali terakhir diraih menerusi Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho pada edisi 2015.
Lebih bermakna, kejayaan tersebut memecah kebuntuan emas kem badminton negara di Bangkok.
Setakat ini, skuad badminton juga sudah memenangi pingat perak menerusi berpasukan lelaki, gangsa melalui berpasukan wanita, beregu campuran, perseorangan lelaki dan wanita.