Bangladesh dilaporkan bakal mengambil alih tempat India dalam saingan FIFA ASEAN Cup 2026 selepas Persekutuan Bola Sepak Bangladesh (BFF) menerima jemputan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menyertai kejohanan tersebut.

Menurut laporan Seasia Goal, persetujuan itu dicapai selepas BFF mengadakan mesyuarat khas jawatankuasa skuad kebangsaan pada 14 Ogos, dengan semua ahli jawatankuasa dilaporkan sebulat suara menerima tawaran berkenaan.

Jika penyertaan itu dimuktamadkan, Bangladesh kendalian Thomas Dooley akan ditempatkan dalam Kumpulan A Divisyen Premier bersama tuan rumah Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Sementara itu, Kumpulan B akan menampilkan Thailand, Vietnam, Filipina dan Pakistan, sekali gus menyaksikan Bangladesh berpeluang mengharungi empat aksi antarabangsa kompetitif menentang lawan dari rantau Asia Tenggara.

Penyertaan tersebut juga dilihat memberi manfaat kepada Dooley dalam usaha membentuk skuad terbaik menjelang saingan SAFF Championship yang dijadual berlangsung pada November ini.

Bangladesh akan menjadi tuan rumah edisi ke-15 SAFF Championship, sekali gus menjadikan FIFA ASEAN Cup sebagai platform penting untuk menguji kemampuan pemain serta mengenal pasti kombinasi terbaik sebelum kejohanan berkenaan.

Sebelum ini, India mengesahkan keputusan menarik diri daripada FIFA ASEAN Cup 2026 selepas memilih untuk memberi tumpuan kepada aksi persahabatan menentang gergasi Amerika Selatan, Brazil pada 3 Oktober ini.

India turut merancang untuk mengadakan dua lagi perlawanan persahabatan berprofil tinggi dalam jendela antarabangsa berkenaan bagi mendapatkan pengalaman menentang pasukan yang mempunyai ranking lebih tinggi.

Sekiranya penyertaan Bangladesh disahkan secara rasmi oleh FIFA, perubahan itu akan melengkapkan senarai pasukan bertanding dan menyaksikan skuad Asia Selatan berkenaan menggantikan India dalam kejohanan yang bakal menjadi pentas baharu persaingan bola sepak rantau ini.