MALAYSIA terlepas slot ke separuh akhir Piala Negara-Negara FIH 2025, biarpun mengatasi Jepun 2-1 pada perlawanan peringkat kumpulan B.

Biarpun Kemenangan 4-3 New Zealand ke atas Pakistan membuka peluang luas buat Speedy Tigers, namun ia gagal dimanfaatkan anak didik Sarjit Singh.

Begitupun, skuad negara membuka jaringan menerusi satu gerakan solo Fitri Saari yang kemudian disempurnakan oleh penyerang, Norsyafiq Sumantri minit ke-5.

Speedy Tigers menambah gol kedua hasil jaringan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal minit-26 yang memanfaatkan hantaran Shello Silverius sekali gus menyaksikan skuad negara mendahului 2-0 selepas berakhir babak pertama.

Memasuki suku ketiga permainan, Jepun menggandakan asakan dan memperoleh empat pukulan sudut penalti, namun kesemuanya tidak dapat menghasilkan gol.

Namun gerakan Speedy Tigers semakin longgar dan sering kehilangan bola, menerbitkan keyakinan Jepun yang berjaya menrapatkan jurang pada minit ke-56, menerusi gol padang Koji Yamasaki, mengubah kedudukan 2-1.

Kedudukan itu kekal sekali gus skuad negara terlepas peluang ke separuh akhir, selepas terikat empat mata dengan Pakistan.

Kelebihan jumlah jaringan Pakistan membolehkan mereka ke separuh akhir biarpun tunduk 3-4 kepada New Zealand pada perlawanan sebelumnya.

Keputusan itu bermakna skuad negara gagal mencapai sasaran ke separuh akhir dan hanya akan beraksi pada perlawanan klasifikasi tempat kelima-lapan.