“FITNESS kita kena tiga kali lebih baik,” kata Sarjit Singh mengeluarkan pengakuan jujur tetapi menyentak ,apabila ketua jurulatih skuad kebangsaan lelaki sendiri mendedahkan tahap kecergasan pemain hoki negara masih jauh ketinggalan berbanding Korea, China dan Jepun.
Namun persoalan timbul, jika benar pemain tidak cukup cergas, mengapa masih dipilih menyarung jersi kebangsaan dan beraksi di pentas antarabangsa seperti Piala Negara-Negara FIH 2025? Ironi yang mencerminkan kelemahan ketara dalam proses pemilihan dan pemantauan prestasi fizikal pemain.
“Kita belum sampai tahap yang sepatutnya. Mereka (Korea, China) punya fitness tiga kali lebih baik dari kita,” kata Sarjit selepas skuad negara menamatkan kempen Piala Negara-Negara peringkat kumpulan B dengan sekadar tempat ketiga, sekali gus gagal ke separuh akhir.

Biarpun ketinggalan 2 gol, pemain muda Jepun bangkit menguasai permainan selepas diberi ruang secukupnya oleh skuad negara pada perlawanan terakhir kumpulan B, semalam. FOTO | FIH
Kenyataan itu tentunya mengundang kritikan kerana kecergasan adalah asas utama dalam sukan berintensiti tinggi seperti hoki, apatah lagi di peringkat antarabangsa. Jika tahap fizikal pun belum cukup, apakah penanda aras sebenar yang digunakan untuk membentuk skuad kebangsaan, atau sekadar alasan untuk digunakan pengendali kebangsaan?
Malah, dalam perlawanan penting menentang Jepun dan sebelum itu bertemu New Zealand, skuad negara jelas goyah pada penghujung permainan – bukti nyata bahawa kecergasan pemain bukan sekadar isu remeh, tetapi punca utama kejatuhan.

Kecewa… antara pemain paling senior Speedy Tigers sujud kecewa selepas skuad negara gagal ke separuh akhir Piala Negara-Negara FIH, biarpun sudah menundukkan Jepun. FOTO | FIH
Sarjit juga menafikan yang beliau baru menyedari pemain negara tidak mempunyai tahap kecergasan yang dimahukan dan mendakwa sudah lama menyedarinya, tetapi tetap menggunakan pemain yang dikatakan “tidak cergas” di pentas kejohanan dunia seperti ini.
Beliau bagaimanapun tetap mahu anak buahnya menutup kempen dengan bermaruah, menyasarkan kemenangan ke atas Afrika Selatan an memburu tempat kelima. “Kami kena fokus balik, nombor lima sangat penting. Ini bukan masa untuk jatuh lebih jauh,” katanya.
Esok, pasukan bimbingannya akan menentang Afrika Selatan bagi perlawanan klasifikasi 5 hingga 8 dan hanya kemenangan mampu merealisasikan hasrat memburu tempat kelima kejohanan, selepas sasaran asal ke separuh akhir gagal diterjemahkan.