PEMAIN sudah bermain dengan baik, tapi tiada tuah. Itu kata ketua jurulatih pasukan hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh selepas Speedy Tigers menang 2-1 ke atas Jepun pada perlawanan terakhir kumpulan B, kempen Piala Negara-Negara FIH 2025 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Biarpun menang, skuad bimbingan Sarjit tetap gagal melangkah ke separuh akhir, semua gara-gara kegagalan memanfaatkan kekalahan Pakistan kepada New Zealand.

“Kita main sangat baik, kita tahu kita perlu 2-0… tapi kita tak dapat gol ketiga. Marhan pun dah mengatasi penjaga gol lawan, tapi bola tak mahu masuk. Saya anggap ini bukan soal taktikal, ini soal tuah,” kata Sarjit yang jelas menahan rasa kecewa.

Malaysia tampil garang dan menguasai hampir keseluruhan aksi, namun kesilapan individu di hujung perlawanan menghadiahkan satu gol buat Jepun, sekali gus memadam impian negara mara ke kelompok empat terbaik.

“Segalanya di bawah kawalan kecuali satu blunder. Sepatutnya clear bola, tapi dia cuba dribble, dan kita dihukum. Tapi itu adat permainan, satu saat cuai boleh ubah segalanya,” ujar Sarjit.

Meskipun misi separuh akhir terkubur, Sarjit mahu pemain segera ‘angkat muka’ dan kekal fokus bagi memastikan tempat kelima jadi milik Speedy Tigers, sebagai hadiah penutup yang masih bermaruah.

“Saya tak mahu dengar alasan ‘tujuh, lapan’. Kita mesti kejar nombor lima. Lawan Afrika Selatan nanti tak senang, tapi saya yakin kita mampu kalau kekal fokus dan semangat ini diteruskan,” katanya tegas.