SKUAD hoki lelaki bawah-18 (B18) negara diyakini mampu melangkah ke separuh akhir pada edisi sulung Kejohanan Piala Asia yang akan berlangsung di China dari 3 hingga 13 Julai ini.

Ketua jurulatih remaja negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, keyakinan itu bersandarkan kekuatan semasa barisan pemain serta cabaran yang dilihat seimbang dalam saingan Kumpulan B.

“Kita berada dalam kumpulan (B) bersama Indonesia, Jepun, Kazakhstan, Chinese Taipei dan Uzbekistan. Melihat prestasi semasa, sasaran sekurang-kurangnya tempat kedua kumpulan adalah realistik,” katanya, dalam sidang media Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Nor Saiful turut percaya peluang untuk muncul juara kumpulan tetap terbuka luas, sekali gus mengelak pertemuan lebih awal dengan pasukan pilihan dari Kumpulan A pada aksi separuh akhir nanti.

Kejohanan yang julung kali dianjurkan itu, turut dijadikan medan penting buat pemain muda negara mempersiapkan diri menghadapi Piala Dunia Remaja di India hujung tahun ini.

“Semua pemain B18 ini belum ada dalam pasukan remaja sedia ada. Jadi ini peluang untuk kita kukuhkan ‘player pool’ menjelang Piala Dunia,” katanya.

Malaysia akan memulakan kempen bertemu Kazakhstan (3 Julai), disusuli Indonesia (4 Julai), Chinese Taipei (6 Julai), Jepun (7 Julai) dan menutup aksi kumpulan menentang Uzbekistan pada 9 Julai dengan hanya dua pasukan terbaik mara ke separuh akhir.