TIADA seorangpun pemain Malaysian Tigers pernah menyebut perkataan kelayakan, sebaliknya hanya pingat emas di Temasya Sukan Asia, membuatkan ketua jurulatih hoki lelaki kebangsaan, A Arulselvaraj berbangga dan menaruh keyakinan tinggi terhadap peluang negara di Hangzhou, nanti.
Arul yang kelihatan lega selepas selesai menyenarai pendek 18 pemain ke Sukan Asia berkata, skuad bimbingannya kini berada di tahap bersedia untuk menentang mana-mana pasukan.
“Paling utama sekarang, pemilihan pemain sudah selesai, pemain nampak lebih relax, boleh tengok mood mereka gembira tanpa tekanan dan sudah tentu saya mahu mereka gembira,” kata Arul, ditemui di padang Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, selepas memimpin skuad kebangsaan menjalani latihan.
Arul mengakui, tiada misi lain di Sukan Asia Hangzhou, melainkan pingat emas kerana beliau dan pasukan mahu menempah slot ke Sukan Olimpik Paris, 2024.
Menjelaskan mengenai beberapa nama yang sudah lama tidak bersama skuad kebangsaan dan kini diberi tanggungjawab besar di Hangzhou, Arul menjelaskan, selain menggantikan pemain yang mengalami kecederaan, peman yang dipanggil adalah sesuai dengan corak yang beliau mahu tampilkan.
“Saya memanggil semula Nik Aiman (Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi) kerana percaya dia mempunyai kekuatan tenaga, kemahiran mengawal bola dan mampu beraksi di banyak posisi dan bergantung kepada kekuatan fizikal dan tahap kecergasan,” kata Arul mengenai Nik Aiman yang kali terakhir mewakili negara pada Piala Sultan Azlan Shah, di Ipoh, tahun lalu.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan, Datuk Najmi Razak mengumumkan senarai 18 pemain lelaki dan wanita ke Sukan Asia Hangzhou, yang menyaksikan nama besar, Mohd Fitri Saari, Muhammad Shahril Saabah dan Muhammad Syafiq Hassan disisihkan ekoran dibelenggu masalah kecederaan.
Skuad hoki lelaki akan membuka tirai saingan Sukan Asia menentang Thailand pada 24 September, manakala pasukan wanita menentang Hong Kong sehari selepas itu.
Senarai skuad 18 pemain hoki lelaki ke Sukan Asia Hangzhou
Senarai skuad 18 pemain wanita ke Sukan Asia Hangzhou