KEMENANGAN bergaya 4-0 ke atas Vietnam bukan sahaja membungkam pesaing utama serantau, malah melonjakkan Malaysia enam anak tangga ke posisi ke-125 dunia dalam ranking FIFA terkini yang dikemas kini hari ini.

Anak buah Peter Cklamovski kini mengumpul 1235.54 mata hasil tambahan +11.97 mata selepas aksi dominan dalam perlawanan kedua Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027, sekaligus menandakan kemunculan semula Harimau Malaya dalam kelompok 125 terbaik dunia — sesuatu yang kali terakhir dicapai beberapa tahun lalu.

Peningkatan drastik ini memberi gambaran jelas tentang hala tuju positif skuad kebangsaan di bawah kendalian jurulatih Australia itu yang kini mula menuai hasil daripada projek pemain warisan dan naturalisasi. Kemenangan besar ke atas skuad ‘Golden Star Warriors’ juga memberi tekanan hebat kepada Vietnam yang semakin tenggelam prestasinya sejak dua tahun lalu.

Malaysia sebelum ini berada di tangga ke-131 dunia pada kemas kini terakhir 3 April 2025, dan kenaikan kali ini membuka peluang cerah untuk terus memperbaiki kedudukan sekiranya momentum cemerlang dikekalkan dalam aksi berikutnya.

Kemas kini ranking FIFA seterusnya dijadualkan pada 18 September 2025, dengan perlawanan persahabatan dan kejohanan akan terus memainkan peranan penting menentukan halatuju skuad negara ke pentas Asia dan dunia.