CHEN Tang Jie-Toh Ee Wei tidak membuang masa apabila membuka kempen Terbuka China dengan kemenangan meyakinkan ke atas pasangan Amerika Syarikat, Presley Smith-Jennie Gai, sebentar tadi.

Pasangan nombor empat dunia itu mara ke pusingan kedua selepas mencatat kemenangan straight set 22-20, 21-12 dalam tempoh 35 minit di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou.

Kemenangan itu mengulangi pencapaian mereka di Terbuka Singapura, Mei lalu, apabila turut menewaskan pasangan ranking ke-29 dunia itu dalam dua set mudah.

Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin tewas awal.

Tang Jie-Ee Wei yang mara ke separuh akhir dua kejohanan berturut-turut di Indonesia dan Jepun mahu meneruskan rentak cemerlang bagi melangkaui pencapaian musim lalu di sini.

Pada edisi 2023, mereka membuat kejutan mara ke separuh akhir dalam penampilan sulung di kejohanan berstatus Super 1000 itu sebelum terkandas kepada gandingan pilihan.

Kali ini, lawan yang menanti mereka di pusingan kedua Khamis ini ialah gandingan tuan rumah, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying yang menyingkirkan beregu Malaysia, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin.

Gandingan China itu mencatat kemenangan 21-15, 21-16 sekali gus memberi isyarat jelas bahawa pertemuan menentang Tang Jie-Ee Wei bakal menjadi aksi tumpuan.