IMPIAN melihat Leong Jun Hao bergelar juara dalam kejohanan besar antarabangsa tidak boleh ditangguhkan lagi, tegas legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek.

Bekas pemain perseorangan lelaki negara itu menegaskan, tiada ruang lagi untuk Jun Hao bereksperimen memandangkan usianya kini sudah mencecah 26 tahun dengan pengalaman luas di pentas antarabangsa.

“Kalau tengok prestasi Jun Hao, sekarang dia memang kena buktikan kemampuan dan sekurang-kurangnya sampai separuh akhir atau final, kerana setakat suku akhir dia memang sudah biasa buat,” katanya.

Menurut pemenang pingat gangsa Olimpik Atlanta 1996 itu, penantian terlalu lama tanpa gelaran utama hanya akan merencatkan karier, sedangkan pemain seperti Datuk Seri Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia sudah meraih kejuaraan pada usia lebih muda.

Leong Jun Hao melebarkan rekod pertemuan dengan Jonatan Christie kepada 3-2.

Setakat ini, pencapaian terbaik Jun Hao dalam siri Jelajah Dunia BWF hanyalah muncul naib juara Masters Jepun (Super 500) tahun lalu, selain dua kejuaraan kecil di Masters Indonesia 2022 dan Masters Malaysia 2023.

Musim ini, pencapaian paling hampir hanyalah mara ke suku akhir di Terbuka Singapura dan Terbuka Hong Kong, yang menyaksikan dia tewas kepada pemain nombor empat dunia dari China, Li Shi Feng, Jumaat lalu.

Rashid turut menegaskan pemain tidak boleh terlalu berselindung di sebalik jurulatih apabila gagal konsisten, kerana usaha sebenar datang daripada diri sendiri.

“Jurulatih hanya sumbang 20 peratus, selebihnya 80 peratus adalah usaha pemain, jadi jangan cepat salahkan jurulatih bila kalah, sebaliknya kena cepat adaptasi dan buktikan kemampuan,” tegasnya.