BEREGU lelaki Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae sah merampas status beregu lelaki nombor satu dunia daripada Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berdasarkan kemas kini ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.
Sze Fei-Izzuddin yang tewas kepada pasangan Korea itu di final Terbuka Jepun jatuh dua anak tangga ke ranking ketiga dunia, sekali gus menyerahkan kembali status beregu lelaki nombor satu negara kepada Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang kekal di kedudukan kedua dunia walaupun tersingkir awal di Tokyo.
Beregu profesional Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pula melonjak ke ranking ke-28 dunia selepas mara ke separuh akhir di Jepun, manakala Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong naik ke tangga ke-25 dunia.
Man Wei Chong-Tee Kai Wun terus konsisten selaku beregu ketiga terbaik negara, berada di ranking ketujuh dunia, diikuti Wan Arif Junaidi-Yap Roy King di tangga ke-24.
Dalam kategori beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah kekal di ranking ketiga dunia, manakala Go Pei Kee-Teoh Mei Xing menduduki tangga ke-22 sebagai gandingan kedua terbaik negara.
Bagi acara perseorangan lelaki, Leong Jun Hao turun ke ranking ke-26 dunia dan Lee Zii Jia yang belum beraksi sejak Mac lalu, kini jatuh ke tangga ke-33 dunia namun masih dilindungi ranking kesembilan dunia untuk layak ke Jelajah Dunia.