SKUAD Malayan Tigress B-20 memulakan kempen Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2026 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dengan langkah kiri apabila tewas 0-3 kepada Iran dalam aksi Kumpulan F malam tadi.
Anak buah Cameron Ng bermula agresif dan hampir membuka jaringan seawal minit ke-4 apabila rembatan Najwa sedikit melewati palang. Namun, Iran yang memanfaatkan serangan balas pantas membuka tirai jaringan menerusi Maryam Dini pada minit ke-13 selepas mematahkan serangan Malaysia.
Kelekaan di benteng negara sekali lagi dihukum Maryam pada minit ke-27 untuk gol kedua Iran. Malaysia hampir merapatkan jurang menerusi Tegen Butler pada minit ke-32, namun jaringan dibatalkan kerana ofsaid.
Separuh masa kedua menyaksikan peluang keemasan Malaysia hadir seawal minit ke-47 selepas dihadiahkan sepakan penalti, tetapi Butler gagal menyempurnakan peluang tersebut apabila rembatan leretnya ditepis penjaga gol Iran.
Iran melengkapkan kemenangan pada masa kecederaan (90+2’) menerusi pemain gantian, Asal Ghajarian. Malaysia kini berdepan cabaran lebih besar apabila akan menentang gergasi Asia, Jepun pada Jumaat ini di venue sama.
FOTO:FAM