PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan kebangkitan luar biasa untuk menewaskan Negeri Sembilan 5-3 dalam aksi kedua Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi walaupun terpaksa bermandi peluh selepas ketinggalan awal.
Perlawanan bermula dengan kejutan apabila pasukan tuan rumah dikejutkan oleh gol pembukaan pelawat menerusi Joseph Esso seawal minit ke-8. Empat minit kemudian, Jovan Motika menambah derita JDT dengan jaringan kedua yang meletakkan Negeri Sembilan selesa mendahului 2-0.

Negeri Sembilan FC mengejutkan Harimau Selatan apabila menjaringkan dua gol awal. (Sumber Gambar: FB Negeri Sembilan FC)
Tersentak dengan situasi itu, JDT meningkatkan tekanan ke kubu lawan. Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-38 apabila Jon Irazabal menanduk masuk hantaran sepakan penjuru Arif Aiman, yang baru dimasukkan sebagai pemain gantian.
Momentum terus memihak kepada JDT apabila Joao Figueiredo memanfaatkan kesilapan pertahanan Negeri Sembilan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-42. Kedudukan 2-2 kekal sehingga tamat babak pertama.
Memasuki separuh masa kedua, JDT tampil lebih garang. Jon Irazabal sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-57 sebelum Arif Aiman menambah gol keempat dua minit kemudian, menjadikan kedudukan 4-2.
Namun, Negeri Sembilan enggan mengibarkan bendera putih. Hanya seminit selepas itu, Jovan Motika meledak gol keduanya untuk merapatkan jurang kepada 4-3, sekali gus menghidupkan semula peluang pasukan pelawat.
Walau bagaimanapun, Bergson memastikan tiga mata penuh menjadi milik JDT apabila menjaringkan gol kelima menjelang penghujung perlawanan. Keputusan akhir 5-3 ini mengekalkan permulaan sempurna JDT dalam kempen Liga Super musim ini.