BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah diyakini mampu menaiki podium di Paris, sekali gus memadam episod kekecewaan Sukan Olimpik 2024.

Bagi bekas pemain kebangsaan, Woon Khe Wei, berdasarkan prestasi dan gaya permainan semasa pasangan itu, ia menjadi penanda aras penting mengenai apa yang mampu dicapai Pearly-Thinaah di Kejohanan Dunia, 25 hingga 31 Ogos ini.

Katanya, gandingan beregu wanita itu, kini berada pada tahap kematangan permainan yang menjadikan mereka Top 2 dunia.

Pearly Tan-M Thinaah muncul pasangan beregu wanita pertama negara mara ke separuh akhir Sukan Olimpik.

“Mereka punya game memang bagus, bukan sahaja konsisten dalam bertahan tetapi serangan mereka sangat kencang, saya anggap mereka all-rounder,” katanya ketika ditemui pada pembukaan rasmi Pusat Sukan Antarabangsa Medalist, iaitu lokasi akademi badminton yang ditubuhkannya si Puchong.

Menurutnya, kekuatan Pearly-Thinaah terletak pada corak permainan moden yang lebih agresif berbanding era lamanya yang lebih banyak bertahan.

Woon Khe Wei pada majlis pembukaan Pusat Sukan Antarabangsa Medalist miliknya.

“Dulu kalau main rally, memang panjang dan banyak bertahan, sekarang beregu wanita lebih kepada menyerang dan Pearly-Thinaah berjaya sesuaikan diri dengan gaya itu,” jelasnya.

Khe Wei berkata peningkatan prestasi Thinaah menjadikan pasangan itu semakin mantap kerana kini kedua-duanya mampu menjana mata tanpa bergantung kepada seorang pemain sahaja.

“Kalau dulu banyak mata disumbang Pearly, sekarang Thinaah juga sudah semakin kuat, jadi mereka lawan mana-mana pasukan pun tidak takut,” katanya.

Tahun ini, Pearly-Thinaah sudah meraih satu kejuaraan iaitu Terbuka Thailand, selain mincul naib juara di Masters Indonesia, Terbuka Indonesi dan Terbuka Jepun, malah mereka mara ke separuh akhir Terbuka India, Masters Malaysia dan Terbuka China.