PERSEKUTUAN Bola Sepak Norway (NFF) mengambil pendirian tegas terhadap isu kemanusiaan apabila mengumumkan hasil jualan tiket aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Israel pada 12 Oktober ini akan didermakan kepada Palestin.
Presidennya, Lisa Klaveness menegaskan langkah itu adalah tanda solidariti terhadap penderitaan rakyat Palestin khususnya di Semenanjung Gaza yang terus berdepan serangan tanpa henti.
“Mana-mana organisasi, termasuk kita, tidak boleh memandang sepi penderitaan dan serangan tidak berperikemanusiaan yang berpanjangan dialami orang awam di Gaza.
“Kita mahu mendermakan jualan tiket (aksi menentang Israel) kepada pertubuhan kemanusiaan yang menyelamatkan nyawa di Gaza setiap hari dan menyediakan bantuan kecemasan aktif di lapangan,” katanya seperti dilaporkan TRT World.
Keputusan berani itu turut mencerminkan bagaimana bola sepak boleh menjadi platform untuk menyuarakan keprihatinan global, di samping membawa mesej kemanusiaan melangkaui sempadan sukan.