KESEDIHAN kehilangan ibu tercinta tidak mematahkan semangat Ketua Jurulatih skuad B-23 negara, Nafuzi Zain, yang tetap bertekad membawa Harimau Muda melakar kejayaan pada Kelayakan Piala Asia B-23 2026 di Bangkok.
Pada 24 Ogos lalu, Nafuzi diuji dengan pemergian ibunya yang meninggal dunia ketika skuad negara sedang giat mempersiapkan diri menghadapi saingan getir di peringkat kelayakan. Berita duka itu semestinya memberi kesan mendalam, namun beliau menganggap perjuangannya bersama pasukan kini menjadi amanah untuk ditunaikan demi ibunya dan seluruh rakyat Malaysia.
“Alhamdulillah, segalanya sudah berakhir dengan baik walaupun saya diuji dengan keadaan ibu yang sakit sebelum ini. Walaupun ibu sudah tiada, saya tahu apa yang dia mahu – dia mahu saya berjaya dengan pasukan ini,” katanya.
Nafuzi menambah, semangat ibunya akan terus menjadi pembakar azam untuk memastikan skuad muda negara memberi persembahan terbaik di pentas antarabangsa. “Saya mahu ibu bangga dengan saya, dan kejayaan bersama pasukan ini adalah hadiah buatnya. Saya akan lakukan yang terbaik, bukan hanya untuk arwah ibu, tetapi juga untuk seluruh rakyat Malaysia,” jelasnya.
Walaupun dilanda ujian peribadi, ketabahan jurulatih berusia 45 tahun itu diyakini mampu menyuntik inspirasi kepada barisan mudanya untuk menampilkan semangat juang luar biasa demi mengibarkan panji negara.
Skuad B-23 negara bakal membuka kempen Kelayakan dengan menentang Lebanon pada 3 September (4.00 petang), Mongolia pada 6 September (4.00 petang) dan aksi tumpuan menentang tuan rumah Thailand pada 9 September (7.30 malam).
TAMAT