JUARA beregu campuran negara, Toh Ee Wei akhirnya tiba di tanah air dengan senyuman penuh makna selepas menempuh perjalanan karier yang berliku, termasuk bergelut dengan masalah kesihatan dan hampir berputus asa beberapa tahun lalu.
Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7 pagi tadi, Ee Wei tidak menyorokkan rasa syukur atas sokongan pelbagai pihak terutama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) serta program Road To Gold (RTG) yang menjadi tonggak utama kebangkitannya. Beliau mendedahkan masalah pada bahagian belakang yang dialaminya sejak tiga hingga empat tahun lalu menjadi cabaran paling besar dalam kerjayanya sebagai pemain elit.
“Perjalanan saya tidak mudah, banyak turun naik, banyak kali sakit juga, tapi MSN, ISN, YB Hannah dan RTG banyak bantu saya. RTG beri sokongan tambahan untuk rehab kecederaan saya dan itu benar-benar membantu saya kembali ke gelanggang,” katanya.
Malah, Ee Wei mengakui ada ketika dirinya hampir mengalah sewaktu digugurkan daripada skuad kebangsaan kerana kecederaan berpanjangan. Namun, sokongan tenaga fisioterapi BAM yang membimbingnya “dari kosong, langkah demi langkah” membolehkan beliau bangkit kembali dan kini berdiri sebagai juara dunia.

(Dari kiri) Tang Jie, Ee wei, Pearly dan Thinaah tiba di tanah air pada pagi tadi selepas cermelang beraksi dalam kejohanan Dunia baru-baru ini di Paris.
“Saya pernah rasa mahu berhenti awal, tapi saya terus lawan. Jadi bila sudah ada kejuaraan ini, ia memang berbaloi. Bukan hanya untuk saya, tetapi semua pemain yang berkorban demi negara. Kami bermain dengan bendera di dada dan itu membuatkan kami bangga untuk memberikan segalanya,” jelasnya dengan penuh emosi.
Menariknya, Ee Wei mengakui dia dan pasangannya, Chen Tang Jie, tidak meletakkan sebarang sasaran tinggi di Kejohanan Dunia baru-baru ini kerana terlalu banyak cabaran yang menimpa. Namun, keyakinan jurulatih serta semangat berpasukan membuatkan mereka melangkah satu demi satu perlawanan sehingga berjaya melakar sejarah.

“Kami ke Kejohanan Dunia tanpa sasaran, cuma mahu cuba dapat podium. Tapi jurulatih sangat percaya kepada kami dan itu beri kekuatan. Apabila sampai di gelanggang, kami hanya beri yang terbaik, langkah demi langkah sampai ke pentas akhir. Final itu pula jatuh pada Hari Merdeka, jadi kami betul-betul cuba sehabis baik,” tambahnya.
Kejayaan ini bukan sahaja mengubat segala luka perjalanan kariernya, malah menjadi bukti bahawa semangat juang dan pengorbanan tanpa mengenal penat lelah mampu mengubah kisah duka menjadi kejayaan yang membanggakan seluruh Malaysia.