VALORANT Champions 2025 mencatat kejutan besar apabila tiada wakil dari tanah besar China berjaya mara ke peringkat playoff selepas semua pasukan mereka tumbang di peringkat kumpulan, menutup peluang untuk membawa pulang trofi paling berprestij dalam kancah kompetitif Valorant.
Bilibili Gaming (BLG) yang turun selaku juara liga China gagal mengekalkan reputasi apabila hanya menamatkan kempen di kedudukan 13-16 dan Dragon Gaming (DRG) turut menerima nasib sama apabila tersingkir awal tanpa sempat memberikan saingan sengit.
Edward Gaming (EDG) yang pernah menjadi simbol kebangkitan Valorant China di pentas dunia juga tidak mampu bertahan lama apabila tewas 2-1 kepada Team Liquid dalam pusingan penyingkiran dan menamatkan cabaran di tangga 13-16.
Xi Lai Gaming (XLG) pula sekadar mencatat sedikit peningkatan namun tetap terhenti di kedudukan 9-12 selepas tunduk 2-0 kepada GIANTX dalam aksi penentu yang sekaligus melengkapkan kekecewaan keseluruhan wakil China tahun ini.
Ketiadaan wakil China di peringkat playoff dianggap tamparan hebat buat komuniti peminat di sana memandangkan mereka sering dilabel sebagai kuasa baharu dalam Valorant dan harapan tinggi untuk melihat dominasi “Great Wall” di pentas global nyata tidak kesampaian.
Menurut penganalisis, kegagalan pasukan China banyak dipengaruhi oleh perubahan meta serta kelemahan mereka menyesuaikan strategi dengan pantas berbanding pasukan dari benua lain yang lebih fleksibel dan mampu menukar corak permainan ketika diperlukan, menjadikan mereka lebih bersedia menghadapi persaingan di pentas tertinggi.