PASUKAN Selangor kembali menemui rentak apabila membenam Tampines Rovers 4-2 dalam aksi kedua Shopee Cup di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Rabu malam, sekali gus mengubat kekecewaan selepas prestasi hambar sebelum ini.

Bermula dengan garang, The Red Giants yang diketuai Faisal Halim sebagai kapten segera melancarkan asakan dan mendahului pada minit ke-18 hasil kesilapan Shuya Yamashita yang tertampan bola ke gawang sendiri.

Zack Clough kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-30 dengan rembatan mudah sebelum Kohya Kazama merapatkan jurang menerusi sepakan penalti minit ke-41 untuk memastikan babak pertama berakhir 2-1.

Bersambung separuh masa kedua, Selangor terus menekan lawan dengan pertukaran taktikal apabila Shahrul Nazeem dimasukkan bagi mengukuhkan pertahanan.

Hasilnya, Faisal Halim kembali meledak pada minit ke-51 sebelum Alvin Fortes menambah derita The Stags tujuh minit kemudian. Tampines sempat membalas melalui Hide Higashikawa pada minit ke-65 namun ia tidak cukup untuk menggugat kedudukan tuan rumah.

Meskipun diasak hebat pada 10 minit terakhir, Selangor bertahan dengan disiplin tinggi sebelum mengesahkan kemenangan 4-2 yang menghadiahkan tiga mata berharga.

Kemenangan ini bukan sahaja menaikkan moral Sang Gergasi Merah, malah menghidupkan semula keyakinan penyokong bahawa mereka masih mampu bersaing di pentas Shopee Cup.