SUKAN SEA 2025 bukan pentas mudah, namun kegagalan mencapai emas tidak menggugat kepercayaan bahawa pengalaman Rexy Mainaky, masih diperlukan dalam pembinaan skuad kebangsaan.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, walaupun sasaran utama meleset, pungutan sembilan pingat melepasi unjuran awal termasuk pingat yang dimenangi perseorangan wanita pertama sejak enam tahun lalu, membuktikan proses pembangunan di bawah pelan sedia ada, berada di landasan tepat.

Rosman Razak, jurulatih berpengalaman negara yang kembali dibawa masuk Rexy Mainaky bagi membantu beregu wanita menempah kejayaan besar di peringkat dunia. |FOTO Pearly Tan/Thread
“Apa yang berlaku bukan kegagalan individu, sebaliknya tanggungjawab bersama seluruh ekosistem pasukan daripada pemain, kejurulatihan hingga pengurusan tertinggi.
“Saya menghargai keterbukaan Rexy, dan pendirian saya jelas: kita masih memerlukan beliau. Pengalaman dan falsafah pembangunan tidak boleh diukur dengan satu kejohanan. Pembinaan skuad kebangsaan ialah proses jangka panjang,” kata Zafrul menerusi perkongsian di aplikasi “X”.
https://x.com/i/status/2000371833011634565
Justeru, beliau menjelaskan bahawa kejayaan muncul juara dunia beregu campuran serta kemaraan bersejarah beregu wanita ke final Kejohanan Dunia membuktikan hasil kerja berterusan mula menuai hasil.
Sukan SEA menjadi guru terbaik apabila skuad negara bertekad belajar daripada kekurangan, bangkit lebih matang dan terus melangkah ke hadapan bersama Rexy sebagai nadi pembangunan.