NAMA Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali menjadi bualan hangat, kali ini bukan di Asia tetapi hingga ke benua Amerika Selatan, apabila penyerang kebangsaan, Rodrigo Holgado, dikaitkan berpotensi menyertai juara Liga Super 11 kali itu sekiranya kemelut penggantungan membabitkannya berakhir memihak pemain.

Perkembangan itu didedahkan wartawan terkemuka Amerika Selatan, Maestro Pichanguero yang mendakwa pihak terdekat Holgado optimis kes melibatkan tujuh pemain termasuk penyerang itu akan berpihak kepada mereka selepas dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Menurut laporan tersebut, keyakinan itu berpunca daripada dakwaan kesilapan pentadbiran yang dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam isu penggantungan berkenaan.

“Saya mendapat pengesahan daripada sumber rapat dengan Holgado bahawa FAM sudah membawa kes ini ke CAS dan minggu depan penggantungan 12 bulan yang dikenakan FIFA pada September 2025 berkemungkinan ditarik balik,” kata Pichanguero menerusi hantaran di media sosialnya, sekali gus mencetuskan spekulasi besar mengenai masa depan penyerang itu.

Situasi berkenaan turut membuka laluan kepada penamatan kontrak Holgado bersama kelab Colombia, America de Cali, yang sepatutnya berakhir pada penghujung 2026, sekiranya keputusan memihak kepada pemain.

Dalam keadaan itu, JDT dilaporkan bersedia menawarkan kontrak jangka panjang sebagai sebahagian perancangan masa depan Harimau Selatan, termasuk untuk saingan peringkat lebih tinggi.

“Ia turut dimaklumkan pengurusan Coquimbo United maklum mengenai situasi ini dan sekiranya ia berlaku, penyerang itu akan menamatkan kontraknya bersama America de Cali sebelum menyertai JDT menerusi kontrak jangka panjang,” tambah wartawan tersebut.

Walaupun JDT disebut sebagai destinasi utama, Holgado dikatakan masih mempertimbangkan pilihan untuk kembali ke kelab lamanya, Coquimbo United secara pinjaman selama enam bulan hingga setahun, sekiranya perpindahan itu menjadi kenyataan.

Pada masa sama, minat beberapa kelab lain termasuk Querétaro dan Olimpia turut dimaklumkan kepada lingkaran dalam pemain itu.

Selain Holgado, enam lagi pemain iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel digantung 12 bulan oleh FIFA kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA, selain didenda CHF2,000 setiap seorang, manakala FAM turut dikenakan denda besar dan keputusan tiga perlawanan antarabangsa Malaysia dibatalkan.

Namun, sekiranya keputusan CAS berpihak kepada pemain, nama Holgado berpotensi menjadi tonggak baharu JDT, sekali gus menambah dimensi baharu kepada dominasi Harimau Selatan di pentas tempatan dan antarabangsa.