GELOMBANG ugutan dan ancaman dalam talian kini melampaui batas apabila pemain beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin, menjadi sasaran mesej berunsur jenayah hingga memaksa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tampil menyarankan laporan polis dibuat segera.
Yew Sin mendedahkan perkara itu menerusi satu hantaran di Instagram dengan memuat naik tangkapan skrin mesej ancaman yang diterimanya susulan kekalahan bersama pasangannya, Teo Ee Yi.
Mesej berkenaan mengandungi ugutan serius termasuk ancaman untuk mencederakan Ee Yi sekiranya gandingan negara itu terus mencatat keputusan mengecewakan di kejohanan antarabangsa.
Pendedahan itu dibuat Yew Sin selepas mereka tersingkir seawal pusingan pertama Masters Indonesia, Selasa lalu, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan pemain.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, menegaskan pihaknya tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk jenayah dan menggesa mangsa tampil membuat laporan bagi membolehkan siasatan serta tindakan lanjut diambil.
“Ini adalah tanggungjawab pihak penguatkuasa, kita memang tidak ada toleransi terhadap sebarang jenayah yang dilaporkan dan kita akan memberi respons, jika wujud elemen jenayah sudah tentu kita akan tangani sebaik mungkin,” katanya, ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Basikal dan Jersi Pasukan Berbasikal PDRM 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut beliau, atlet yang berdepan situasi sedemikian perlu segera merujuk kepada PDRM kerana ugutan adalah satu kesalahan jenayah tanpa mengira status mangsa.
Insiden itu menjadi kes terbaharu serangan siber terhadap pemain badminton negara selepas beregu campuran, Toh Ee Wei, turut meluahkan kekecewaan akibat kritikan melampau warganet hingga menyerang keluarganya, sekali gus menimbulkan persoalan besar terhadap keselamatan dan kesejahteraan mental atlet.