PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) tampil menyelar keras insiden ugutan terhadap pemain beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin, sambil menegaskan atlet perlu dihormati dan dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh menegaskan keselamatan pemain mesti menjadi keutamaan tanpa mengira sama ada mereka berstatus pemain kebangsaan atau profesional.
“Sebarang bentuk ugutan, intimidasi atau tingkah laku kesat, khususnya yang membabitkan keganasan, adalah tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.

Menurut Kenny, badminton adalah sukan dan perbezaan pandangan terhadap prestasi atlet tidak seharusnya berkembang menjadi serangan peribadi atau ugutan.
“Badminton adalah sukan dan atlet wajar dihormati, perbezaan pendapat terhadap prestasi tidak seharusnya meningkat menjadi serangan peribadi atau ugutan,” katanya.
Beliau berkata isu keselamatan pemain serta ancaman sedemikian perlu ditangani melalui saluran yang betul dengan merujuk kepada pihak berkuasa berkaitan.
Mengulas ancaman dalam talian, BAM berpandangan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) paling sesuai menangani penyalahgunaan platform digital dan ancaman di media sosial.
Sebelum ini, Yew Sin mendedahkan menerima ugutan dan ancaman dalam talian susulan kekalahan di Masters Indonesia, termasuk mesej berunsur ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan dirinya serta pasangan.