PASUKAN Terengganu FC mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala Malaysia 2025/26 dengan penuh bergaya apabila membenam UM-Damansara menerusi kemenangan agregat besar 7-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat malam.
Didorong sorakan ribuan penyokong setia Sang Penyu, Terengganu tampil agresif sejak wisel pertama dengan asakan bertali arus ke kubu pelawat, jelas memperlihatkan jurang kualiti antara kedua-dua pasukan.
Tekanan berterusan itu akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-33 apabila Engku Shakir memecah kebuntuan menerusi jaringan cantik yang menaikkan semangat tuan rumah, sebelum sekali lagi menghukum UM-Damansara untuk menggandakan kelebihan agregat.
Careca kemudian memastikan Terengganu menutup separuh masa pertama dengan penuh bergaya apabila meledak gol ketiga pada masa kecederaan, sekali gus memberikan kelebihan selesa buat Sang Penyu.
Bersambung babak kedua, Terengganu langsung tidak mengendurkan tekanan dengan tempo permainan terus dipertingkatkan, memaksa UM-Damansara lebih banyak bertahan di kawasan sendiri.
Engku Shakir sekali lagi mencuri tumpuan apabila melengkapkan hatrik pada minit ke-62 menerusi rembatan padu dari luar kotak penalti, jaringan yang seakan mematikan terus sisa harapan pasukan pelawat.
Penguasaan penuh Terengganu jelas terserlah dengan deretan percubaan berbahaya hasil gandingan Engku Shakir dan Akhyar Rashid, namun ketumpulan penyudah menghalang jaringan tambahan lebih awal.
Careca akhirnya melengkapkan pesta gol Sang Penyu dengan gol kelima perlawanan pada minit ke-87, sekali gus mengesahkan kemenangan mutlak agregat 7-0 dan tiket ke suku akhir Piala Malaysia.
Terengganu kini menunggu pemenang pertembungan Perak FA dan Kuala Lumpur City FC, dengan prestasi meyakinkan ini memberi isyarat jelas Sang Penyu sudah bersedia untuk melangkah lebih jauh dalam kempen Piala Malaysia musim ini.