PETUNJUK prestasi utama (KPI) bukan tekanan buat beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika menggalas cabaran di Kejohanan Badminton Seluruh England di Birmingham, 3 hingga 8 Mac depan.
Sebaliknya, Aaron melihat KPI sekadar panduan dalam usaha mereka mengekalkan momentum positif selepas mara ke final Terbuka Malaysia dan separuh akhir Terbuka India.
Pasangan ranking kedua dunia itu mengakui peluang untuk bergelar juara terbuka luas memandangkan saingan beregu lelaki kini semakin seimbang dan sukar diramal.

Aaron-Wooi Yik kandas di pusingan pertama Masters Indonesia minggu lalu.
Aaron berkata, setiap kejohanan hadir dengan cabaran tersendiri dan Seluruh England sentiasa terkenal sebagai pentas sukar, terutama ketika beraksi di Eropah yang menuntut penyesuaian pantas.
Menurutnya, mereka akan menjadikan Terbuka Jerman sebagai kejohanan pemanas badan sebelum turun ke Seluruh England dengan fokus memperkemaskan permainan.
“Saya rasa memang saingan All England sentiasa sukar pada setiap tahun dan bukan senang untuk meletakkan sasaran atau memastikan aksi konsisten di Eropah kerana kami perlu menyesuaikan diri,” katanya.
Mengimbau rekod lalu, Aaron-Wooi Yik masih memburu gelaran sulung di kejohanan badminton tertua dunia itu selepas sekadar muncul naib juara pada edisi 2019 dan 2024.