KEJOHANAN ragbi sekolah berprestij, MCKK Premier 7s kembali mewarnai kalender sukan tanah air apabila edisi ke-14 bakal berlangsung di Malay College Kuala Kangsar (MCKK), Perak.

Kejohanan yang terus menjadi antara platform pembangunan ragbi sekolah paling berpengaruh di rantau ini bakal menghimpunkan pasukan-pasukan terbaik tempatan serta wakil antarabangsa dalam persaingan penuh sengit.

Edisi 2026 menyaksikan penyertaan 24 pasukan, terdiri daripada 22 sekolah dari seluruh Malaysia serta dua wakil antarabangsa dari Jepun dan Indonesia.

Sejak diperkenalkan pada 2011, MCKK Premier 7s terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara kejohanan ragbi sekolah paling berprestij di Asia, selain menjadi pentas penting dalam mencungkil bakat muda negara.

Kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan persaingan kompetitif, malah berperanan membentuk nilai disiplin, semangat berpasukan, integriti dan daya tahan dalam kalangan pemain muda.

Juara bertahan, Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP), bakal kembali mempertahankan kejuaraan selepas menjulang trofi pada edisi 2025 dengan menewaskan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dalam aksi final yang mendebarkan.

Dalam masa sama, SSTMI dijangka sekali lagi menjadi antara pencabar utama apabila turun dengan misi merampas semula kejuaraan, selain memburu gelaran keenam kejohanan untuk mengukuhkan status sebagai pasukan paling berjaya dalam sejarah MCKK Premier 7s.

Selain aksi di atas padang, kejohanan ini turut memberi impak besar kepada pelancongan sukan dan ekonomi setempat menerusi kehadiran pemain, pegawai, alumni dan penyokong dari dalam serta luar negara.

Dengan tradisi, prestij dan persaingan sengit yang sentiasa menjadi identiti utama, MCKK Premier 7s 2026 sekali lagi dijangka menjadi pentas terbaik untuk menyaksikan lahirnya generasi baharu bintang ragbi negara.