Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memperkenalkan BMX Racing Super League sebagai platform baharu bagi memastikan pembangunan serta laluan kompetitif pelumba BMX negara terus berjalan selepas Yayasan Sime Darby (YSD) memutuskan untuk menghentikan kerjasama dan penganjuran siri berkaitan.
Presiden PKBM, Dato’ Amarjit Singh Gill mengesahkan dua pusingan pertama saingan baharu itu akan berlangsung pada 28 dan 29 November 2026, dengan program berkenaan turut dirancang untuk diperluaskan pada 2027.
Menurut Amarjit, keputusan YSD untuk menghentikan kerjasama itu sememangnya sesuatu yang dikesali, namun PKBM akan memastikan perkembangan atlet tidak terjejas dan terus mempunyai laluan untuk bersaing serta membangunkan bakat mereka.
Beliau pada masa sama mengiktiraf sumbangan YSD terhadap pembangunan sukan berbasikal Malaysia selama ini, sambil menegaskan hubungan profesional antara semua pihak perlu berasaskan sikap saling menghormati termasuk terhadap badan induk kebangsaan.
“Pembangunan atlet kita akan tetap diteruskan. Tiada laluan pembangunan seharusnya bergantung kepada mana-mana individu atau organisasi, tidak kira sebesar atau sekecil mana sumbangan mereka,” kata Amarjit.
Katanya, perubahan rakan kerjasama atau program tidak akan mengubah tanggungjawab PKBM sebagai badan induk untuk membangunkan sukan berbasikal serta menyediakan peluang kepada atlet negara.
Bagi acara trek pula, PKBM akan terus memperkukuh laluan pembangunan sedia ada menerusi program JCM yang dilaksanakan bersama Majlis Sukan Negara (MSN), khususnya dalam usaha mengenal pasti serta membentuk pelumba muda.
Sementara itu, BMX Racing Super League akan menjadi platform pertandingan yang lebih tersusun untuk pelumba muda, bermula dengan dua pusingan pada November sebelum diperluaskan menerusi program yang lebih besar pada tahun depan.
Amarjit turut memberi jaminan kepada pelumba, ibu bapa, jurulatih dan kelab bahawa pembangunan BMX negara tidak akan terhenti, sebaliknya peluang untuk generasi baharu terus disediakan.
“Pembangunan akan diteruskan. PKBM akan memastikan peluang kekal tersedia dan laluan untuk generasi pelumba Malaysia seterusnya terus bergerak ke hadapan,” katanya.
MNCF turut menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memajukan sukan berbasikal Malaysia menerusi pendekatan profesional, kerjasama dan sikap saling menghormati.