Kredit Gambar: Filippo MONTEFORTE/AFP

Martin Odegaard sekali lagi membuktikan kepentingannya buat Arsenal apabila kapten The Gunners itu muncul penentu kemenangan 1-0 ke atas Napoli dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

Jaringan menerusi rembatan kencang pada minit ke-75 itu memastikan Arsenal membawa pulang tiga mata dari Stadium Diego Armando Maradona, sekali gus memberikan permulaan positif kepada kempen mereka dalam saingan berprestij Eropah.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta melihat keputusan tersebut tidak benar-benar menggambarkan dominasi pasukannya yang menghasilkan 26 percubaan, sekali gus mencipta rekod kelab bagi jumlah percubaan dalam aksi tempat lawan Liga Juara-Juara.

Odegaard turut meneruskan permulaan musim 2026-27 yang cukup memberangsangkan apabila sudah mengumpul empat gol dalam lima perlawanan, termasuk jaringan kemenangan ketika menentang Chelsea sebelum mengulangi perkara sama di Naples.

Peningkatan produktiviti itu cukup ketara berbanding musim lalu apabila pemain tengah Norway tersebut hanya menjaringkan satu gol daripada 36 penampilan dalam semua pertandingan.

Arteta menyifatkan kecergasan Odegaard sebagai antara faktor utama kebangkitannya selepas kapten Arsenal itu banyak terlepas aksi musim lalu akibat kecederaan. Peranan dan kedudukannya yang lebih fleksibel dalam fasa menyerang juga membolehkan kelebihannya lebih menyerlah.

“Dia perlu cergas untuk beraksi dan musim lalu dia terlepas begitu banyak perlawanan akibat kecederaan. Sekarang dia boleh mula berada di beberapa posisi berbeza dalam pasukan, terutama ketika fasa menyerang. Apabila kami membawanya ke posisi itu, dia adalah pemain yang sangat berbahaya,” kata Arteta.

Arteta turut memuji mentaliti Odegaard yang terus berani mencuba walaupun gerakan sebelumnya tidak berhasil, selain percaya keyakinan kaptennya ketika ini menjadi antara sebab dia semakin kerap berada di posisi berbahaya dan mampu menghasilkan jaringan penting.

“Saya sangat gembira dengan cara kami menyerang sejak minit pertama, cara kami bersaing serta kejelasan mengenai bagaimana kami perlu menyerang mereka untuk mengucar-ngacirkan pertahanan. Jumlah peluang yang kami hasilkan juga luar biasa,” katanya.

Kemenangan itu melanjutkan permulaan kukuh Arsenal selepas mereka memenangi kesemua tiga perlawanan EPL musim ini serta menewaskan Manchester City dalam Perisai Komuniti bulan lalu, manakala Napoli pula mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dalam semua pertandingan.

Keadaan The Partenopei turut terjejas dengan kecederaan Scott McTominay dan Andre-Frank Zambo Anguissa, dengan Massimiliano Allegri kini berharap pasukannya mampu bangkit ketika menentang Bologna pada Ahad.