Gandingan kepimpinan Dato’ Sri Subahan Kamal dan Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak terus membuahkan hasil apabila skuad remaja lelaki negara berjaya melayakkan diri ke Hoki Piala Dunia Remaja 2027.

Dato’ Sri Subahan Kamal diumumkan sebagai Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pada tahun 2023, manakala Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak dilantik sebagai Timbalan Presiden KHM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan pada tahun yang sama.

Sejak pelantikan kedua-dua figura tersebut, skuad remaja lelaki negara bukan sahaja berjaya melayakkan diri ke tiga edisi Hoki Piala Dunia Remaja secara berturut-turut, malah turut mencatat dua penampilan dalam kelompok empat terbaik di pentas Asia.

Rentetan itu, Young Tigers menamatkan saingan di tempat keempat pada Piala Asia Remaja 2024 selepas tewas tipis 2-1 kepada Jepun dalam penentuan tempat ketiga.

Pencapaian tersebut kemudian diulangi pada edisi tahun ini apabila Malaysia sekali lagi berjaya menduduki tempat keempat selepas tewas kepada Pakistan dengan jaringan 4-1.

Dalam saingan Hoki Piala Dunia Remaja pula, Malaysia menamatkan kempen di kedudukan ke-12 pada tahun 2023 sebelum menduduki tempat ke-13 pada edisi 2025.

Kelayakan ke Hoki Piala Dunia Remaja 2027 itu turut memperlihatkan hasil positif daripada kesinambungan pengurusan di bawah gandingan Dato’ Sri Subahan Kamal dan Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak sejak 2023.

Konsistensi tersebut mencerminkan usaha berterusan KHM dalam memastikan pembangunan pemain muda diberikan perhatian menerusi pengurusan pasukan yang berterusan serta pendedahan kompetitif di peringkat antarabangsa.

Gandingan dua nakhoda ini diharapkan terus menjadi pemacu kepada pembangunan hoki remaja negara dalam usaha melahirkan generasi pemain yang mampu mengangkat Malaysia ke tahap lebih tinggi di pentas antarabangsa.