CALON Naib Presiden 1 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Haji Rosmadi mahu memberi tumpuan kepada usaha memperkemas pengurusan badan induk bola sepak negara sekiranya diberi kepercayaan pada pemilihan FAM 17 September ini.
Beliau berkata pengalaman serta hubungan yang dibina sepanjang penglibatannya bersama FAM menjadi antara sumbangan yang boleh ditawarkan kepada barisan kepimpinan baharu selain membantu melaksanakan penambahbaikan yang diperlukan.
Rosmadi turut menegaskan kejayaan pasukan kebangsaan tidak hanya bergantung kepada prestasi di atas padang sebaliknya perlu bermula daripada pengurusan yang kukuh dan percaya bahawa FAM perlukan rejuvenasi.
Dalam pada itu, Rosmadi yang mempunyai pengalaman bersama FAM sejak 2010 turut menyatakan kesediaan untuk memberi perhatian lebih kepada pembangunan futsal sekiranya struktur kepimpinan baharu memberi ruang kepadanya untuk memainkan peranan tersebut.
Beliau menyifatkan futsal sebagai antara bidang yang dekat dengan dirinya dan mahu memperkemaskan lagi liga tempatan sebagai asas melahirkan pemain berkualiti untuk skuad kebangsaan.
Menurutnya, pembangunan futsal perlu disokong perancangan menyeluruh termasuk aspek gaya permainan, kejurulatihan dan pencarian bakat bagi memastikan lebih ramai pemain berkualiti dapat diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
Menjelang pemilihan, beliau turut menyeru semua ahli gabungan supaya membuat pilihan berdasarkan pengalaman, kelayakan serta kekuatan yang dimiliki setiap calon demi memastikan barisan kepimpinan terbaik dapat menerajui FAM bagi baki penggal tersebut.