Malaysia secara rasmi memulakan kiraan detik setahun menuju penganjuran Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 yang dijadualkan berlangsung pada 2027.

Majlis Sambutan Kiraan Detik Satu Tahun Menuju Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 itu berlangsung di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya, hari ini. 

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi anak Bimol, berkata sambutan berkenaan menjadi antara usaha untuk membina momentum serta meningkatkan keterujaan rakyat menjelang temasya yang membawa tema ‘Raikan Perpaduan’. 

Beliau berkata persiapan bukan hanya melibatkan kerajaan, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, persatuan sukan, sektor swasta, institusi pendidikan, media dan sukarelawan. 

“Kita mahu seluruh negara merasakan bahang menuju 2027. Bukan hanya apabila pertandingan bermula, tetapi sejak dari sekarang,” katanya sambil menegaskan kepentingan membina kesedaran dan keterujaan rakyat terhadap penganjuran itu. 

Mordi turut mengajak rakyat Malaysia untuk terus menyokong atlet negara selain memainkan peranan sebagai tuan rumah kepada kontinjen dari seluruh rantau ASEAN. 

Menurut beliau, Malaysia mempunyai pengalaman luas sebagai tuan rumah Sukan SEA selepas menganjurkan temasya berkenaan sebanyak tujuh kali, dengan edisi terakhir berlangsung pada 2017. 

Bagaimanapun, beliau menyifatkan penganjuran kali ini sebagai amanah baharu kerana setiap edisi hadir dengan cabaran serta tuntutan tersendiri, termasuk usaha memperkukuh semangat ASEAN dan menjadikan sukan sebagai medium perpaduan rakyat. 

Menariknya, Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 2027 akan menyaksikan kerjasama empat kluster iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor dalam menjayakan temasya sukan serantau berkenaan.