Sebanyak 108 pasukan sekolah dan kelab dari seluruh Malaysia bakal menghangatkan Karnival Ragbi Johor 2026 Edisi Ke-14 yang berlangsung selama tiga hari bermula 25 hingga 27 September ini.

Kejohanan yang dianjurkan Kesatuan Ragbi Negeri Johor (JRU) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) itu akan berlangsung di Stadium Ragbi Johor, Kompleks Sukan Mount Austin.

Empat kategori dipertandingkan pada edisi kali ini iaitu Bawah 16 Tahun Lelaki, Bawah 14 Tahun Lelaki, Bawah 11 Tahun Lelaki dan Bawah 16 Tahun Perempuan.

Penyertaan pasukan dari Sabah dan Sarawak turut menambah warna kepada kejohanan, selain dijangka menyaksikan persaingan lebih kompetitif dalam kalangan pasukan yang turun membawa misi masing-masing.

Antara pasukan yang menjadi tumpuan ialah Sekolah Sukan Negeri Tun Hussein Onn (THOR) dari Johor yang hadir dengan sasaran mempertahankan kejuaraan selepas muncul juara berganda dalam kategori Bawah 14 dan Bawah 16 Tahun Lelaki pada edisi terdahulu.

Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Johor, Dato’ Hj Mohd Noorazam bin Dato’ Hj Osman berkata, penganjuran yang memasuki edisi ke-14 itu mencerminkan perkembangan karnival berkenaan sebagai antara platform penting dalam kalendar ragbi Malaysia.

Beliau berkata kejohanan berkenaan bukan sahaja memberi ruang kepada pemain muda menimba pengalaman pertandingan, malah membantu mencungkil bakat baharu serta memperkukuh pembangunan ragbi di peringkat akar umbi.

Dengan penyertaan 108 pasukan dari seluruh negara, Karnival Ragbi Johor 2026 bukan sekadar medan persaingan, malah menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan antara sekolah, kelab dan komuniti ragbi selain memperluas pembangunan sukan berkenaan di Johor.