Skuad sepak takraw negara memastikan kemaraan ke final regu takraw Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Filipina 2-1 dalam aksi separuh akhir, sebentar tadi.
Malaysia bermula goyah apabila regu yang dibarisi Muhammad Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Razali dan Aidil Aiman Azwawi ketinggalan 0-4 sebelum Filipina terus mengawal permainan.
Walaupun servis Zulkifli membantu Malaysia mendapatkan mata pertama, Filipina kekal dominan dan melebarkan kelebihan kepada 10-6. Ahmad Jais Baharun kemudian terpaksa membuat perubahan dengan memasukkan Mohamad Azlan Alias dan Mohamad Syahir Mohd Rosdi.
Percaturan itu bagaimanapun belum cukup untuk mengubah keputusan set pertama apabila Filipina terus tenang sebelum menang 15-10, dengan tekong Rafael Jom Lerry menjadi antara pemain yang menyukarkan Malaysia menerusi servisnya.

Malaysia tampil berbeza dalam set kedua apabila Syahir mula memberikan impak menerusi rejaman ace untuk membuka mata negara sebelum regu negara mengambil alih momentum.
Selepas berjaya mendahului 7-6 buat kali pertama, Malaysia terus melebarkan kelebihan kepada 11-6 sebelum menamatkan set kedua 15-11 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Pertarungan semakin sengit dalam set ketiga apabila Syahir dan Rafael saling bertukar mata, namun Malaysia mula membuka ruang selepas mendahului 2-1 dan terus mengekalkan kawalan permainan.
Syahir sekali lagi memainkan peranan penting untuk membantu regu negara menjauhkan kedudukan sebelum Malaysia menutup set penentuan 15-7 bagi melengkapkan kebangkitan 2-1.
Malaysia kini hanya selangkah untuk membawa pulang emas selepas Thailand menewaskan Vietnam 2-0 dalam satu lagi separuh akhir. Kedua-dua pasukan akan bertemu dalam aksi final yang dijadualkan berlangsung pada 9.30 pagi waktu Malaysia esok.