Kredit Gambar: MSN Malaysia
Matteo Malucelli bangkit daripada cabaran pendakian Gunung Jerai untuk kembali ke pentas kemenangan apabila pelumba XDS Astana Team itu menguasai Peringkat 3 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 dari Sungai Petani ke Kuala Kangsar, hari ini.
Pelumba Itali itu menggunakan kepantasan dalam penamat beramai-ramai untuk memenangi perlumbaan sejauh 189.7 kilometer (km) dengan catatan 4 jam 31 minit 59 saat, sekali gus menambah satu lagi kemenangan peringkat dalam saingan tahun ini.
Riley Pickrell daripada Modern Adventure Pro Cycling dan Sepp Van den Boer (Tudor Pro Cycling Team) terpaksa berpuas hati di tempat kedua serta ketiga selepas kedua-duanya mencatat masa sama dengan Malucelli.
Kemenangan itu menyaksikan Malucelli mengutip 10 mata bonus dan 15 mata klasifikasi peringkat, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu jersi biru Raja Pecut dengan 32 mata.
Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhammad Izzat Hilmi Abdul Halil turut mencuri perhatian apabila menamatkan perlumbaan di tempat kelima dengan catatan masa sama dan muncul pelumba Asia terbaik bagi peringkat berkenaan.
Dalam klasifikasi keseluruhan, Lennart Jasch daripada Tudor Pro Cycling Team masih menguasai jersi jingga selepas mengumpul masa keseluruhan 12:16:03, manakala Abel Balderstone berada di tempat kedua dengan ketinggalan 20 saat dan Jorge Castellon di tangga ketiga, 38 saat di belakang.
Jasch turut mengekalkan jersi Raja Bukit dengan 15 mata, hanya satu mata mengatasi Aiman Zariff daripada Terengganu Cycling Team yang mengumpul 14 mata. Bagi jersi putih pelumba Asia terbaik, Yuhi Tadome mendahului dengan catatan 12:21:03, diikuti Kee Zhe Yie (12:21:18) dan Tsen Ren Bao (12:21:42).
Malucelli kini mempunyai 32 mata untuk jersi Raja Pecut, diikuti Pickrell dengan 24 mata dan Van den Boer 14 mata, menjadikan persaingan klasifikasi pecut terus terbuka selepas tiga peringkat.
Peringkat 4 LTdL 2026 esok bakal menjadi ujian besar buat pelumba apabila perlumbaan sejauh 142.3km dari Meru Raya ke Cameron Highlands menawarkan tiga zon pecutan di Gopeng, Kampar dan Tapah, sebelum pendakian berstatus Hors di Tanah Rata menjadi kemuncak saingan.