KARNIVAL Ragbi Johor (JRC) 2026 Edisi Ke-14 melabuhkan tirai selepas berlangsung selama tiga hari dari 25 hingga 27 September lalu di Stadium Ragbi Johor dan Stadium Olahraga Johor, Kompleks Sukan Mount Austin, Johor.
Edisi kali ini berlangsung meriah dengan menghimpunkan 108 pasukan serta hampir 10,000 pengunjung terdiri daripada pemain, ibu bapa, jurulatih, pegawai pasukan dan peminat ragbi dari seluruh Malaysia.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dato’ Hj Onn Jabbar berkata penganjuran JRC tahun ini merupakan antara yang terbesar dengan menghimpunkan pemain muda dari seluruh Malaysia bersama ibu bapa, jurulatih dan peminat ragbi.
“Kerajaan Negeri Johor melalui Majlis Sukan Negeri Johor turut menyediakan fasiliti dan sokongan yang terbaik dalam menjayakan Karnival Ragbi Johor 2026 Edisi Ke-14,” kata Dato’ Hj Onn Jabbar.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Dato’ Hj Onn Jabbar, Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Tuan Hasnul Atmam Othman, barisan penaja serta wakil agensi yang terlibat dalam penganjuran JRC 2026.
“Kerjasama erat antara Kesatuan Ragbi Negeri Johor, Majlis Sukan Negeri Johor, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, penaja, agensi serta semua pihak yang terlibat menjadi antara faktor utama kejayaan penganjuran kali ini,” tambah beliau.
Menyentuh keputusan pertandingan, saingan Bawah 16 Tahun Lelaki, SSMP muncul juara selepas menewaskan THOR 12-5 dalam perlawanan akhir, manakala Aniq Azreeq Asmaneezam dari SSMP dipilih sebagai Pemain Terbaik.
Manakala, THOR pula berjaya mempertahankan kejuaraan Bawah 14 Tahun Lelaki selepas menewaskan SSMP 15-5 dalam aksi final, dengan Muhammad Airol Irfan Mohd Sahlan dinobatkan sebagai Pemain Terbaik.
Bagi kategori Bawah 16 Tahun Perempuan, JJ Ladies muncul juara selepas menewaskan SSMP 14-7, manakala Norain Abdullah dari SSMP dipilih sebagai Pemain Terbaik.
Akhir sekali, bagi kategori Bawah 11 Tahun pula menyaksikan RBM muncul juara selepas menewaskan ARPG Black 7-5, dengan Muhammad Wazir Yusuf Mod Yazid dari RBM dinobatkan sebagai Pemain Terbaik.
Penganjuran JRC 2026 yang dianjurkan Kesatuan Ragbi Negeri Johor dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Johor dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor terus memperkukuh peranan dasebagai platform pembangunan ragbi di peringkat akar umbi.