Keadaan jerebu dan cuaca tidak menentu yang melanda Malaysia ketika ini tidak dianggap sebagai halangan besar oleh pelumba Mercedes-AMG PETRONAS Formula 1, George Russell menjelang Grand Prix Formula 1 Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini.

Sebaliknya, pelumba Britain itu melihat faktor cuaca panas dan kelembapan sebagai sebahagian daripada cabaran yang perlu dihadapi semua pelumba ketika beraksi di Sepang.

“Ya, saya rasa ia sama untuk semua orang dan cuaca panas serta kelembapan di Malaysia sememangnya sentiasa menjadi cabaran. Tetapi, itu sebahagian daripada keseronokan berlumba di sini dan juga cabarannya. Ia sama untuk semua,” katanya pada sidang media di ibu negara semalam.

Russell juga mempunyai hubungan istimewa dengan litar Sepang apabila trek berkenaan menjadi antara litar kegemarannya sejak kecil, malah sering dipilihnya ketika bermain permainan perlumbaan menerusi konsol PlayStation.

Pelumba Britain itu berharap pengalaman ‘berlumba’ di Sepang menerusi permainan video sejak zaman kanak-kanak dapat memberikan sedikit kelebihan apabila dia turun ke litar sebenar hujung minggu ini.

Dalam pada itu, rakan sepasukannya, Kimi Antonelli menjangkakan keadaan tayar menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian susulan permukaan Litar Sepang yang sudah berusia dan terkenal dengan sifatnya yang kasar terhadap tayar.

Antonelli berkata faktor cuaca turut sukar dijangka, terutama dengan kemungkinan hujan yang boleh mengubah keadaan perlumbaan serta memerlukan pelumba menyesuaikan diri dengan trek basah.

“Dari segi tenaga, saya rasa ia tidak terlalu membebankan, tetapi tayar pasti menjadi cabaran besar. Permukaan litar ini sudah lama dan sangat kasar terhadap tayar, jadi menarik untuk melihat bagaimana keadaannya nanti, tetapi sudah pasti kadar kehausan akan sangat tinggi,” katanya.

Pelumba Itali itu turut mengakui kemungkinan hujan lebat akan menjadi ujian tambahan kerana perlumbaan kali ini bakal menjadi pengalaman pertama buat mereka menggunakan tayar basah di litar berkenaan.

“Daripada apa yang saya dengar, apabila hujan di sini, ia turun dengan agak lebat, jadi kami akan cuba bersedia menghadapi apa sahaja keadaan. Ini juga kali pertama kami akan berada di litar menggunakan tayar basah. Jika keadaan itu berlaku, ia akan menjadi cabaran besar kerana kami mempunyai pengalaman yang sangat sedikit memandu jentera ini dalam keadaan basah,” katanya.