Kredit Gambar: MSN Malaysia
Nil Gimeno Ferrer akhirnya merasai kemenangan pertama dalam karier profesional apabila pelumba Equipo Kern Pharma itu mengungguli Peringkat 7 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 dari Melaka ke Batu Pahat, hari ini.
Pelumba Sepanyol berusia 22 tahun itu menamatkan laluan sejauh 158.9 kilometer dengan catatan masa 3 jam 12 minit 33 saat untuk muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat.
Mario Aparicio Munoz daripada Burgos-Burpellet-BH terpaksa berpuas hati di tempat kedua, manakala Andrei Stepanov (Wheeltop Rotor Chengdu Team) menduduki tempat ketiga. Pelumba Terengganu Cycling Team, Adne Van Engelen, pula menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat.
Kemenangan di Batu Pahat itu menjadi detik istimewa buat Gimeno Ferrer apabila beliau merekodkan kemenangan pertama sejak bergelar pelumba profesional.
Dalam persaingan keseluruhan, pelumba Jerman Lennart Jasch daripada Tudor Pro Cycling Team terus mengekalkan Jersi Jingga sebagai pendahulu selepas tujuh peringkat dengan catatan keseluruhan 24 jam 51 minit 45 saat.
Abel Balderstone Roumens daripada Caja Rural-Seguros RGA berada di tempat kedua dengan perbezaan 26 saat, manakala rakan sepasukannya, Jan Castellon Ribalt, menduduki tempat ketiga dengan jurang 42 saat.
Persaingan Jersi Biru turut menyaksikan Matteo Malucelli daripada XDS Astana Team kekal sebagai Raja Pecut dengan 50 mata. Jasch pula meneruskan penguasaan Jersi Polka Dot dengan 45 mata, hanya empat mata mengatasi Petr Rikunov.
Bagi kategori pelumba terbaik Asia, Yuhi Todome daripada Aisan Racing Team masih berada di hadapan dengan catatan 24:59:06s. Tsen Ren Han dari Malaysia National Team dan abangnya, Tsen Ren Bao daripada St George Continental Cycling Team, masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga dengan perbezaan lima minit.
LTdL 2026 kini memasuki peringkat terakhir apabila Peringkat 8 akan berlangsung dari Muar ke Putrajaya sejauh 188.3km esok, dengan tiga zon pecutan ditetapkan di Simpang Ampat, Seremban dan Nilai.