Kredit Gambar: AHF
Impian Speedy Tigers untuk menamatkan kempen dengan pingat emas hoki lelaki Sukan Asia tidak kesampaian apabila Malaysia tewas 1-5 kepada India dalam aksi final Aichi-Nagoya 2026, hari ini.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, selain terlepas peluang meraih slot automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 yang menjadi taruhan utama dalam perlawanan berkenaan.
India terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-11 menerusi pukulan sudut penalti Harmanpreet Singh yang berjaya menewaskan penjaga gol Malaysia.
Malaysia bagaimanapun memberikan respons pantas apabila Shello Silverius menyudahkan hantaran jauh Fitri Saari pada minit ke-14 untuk mengembalikan kedudukan sama rata 1-1.
Ketika aksi menuju penghujung babak pertama, India kembali di depan selepas Jugraj Singh menyempurnakan pukulan sudut penalti, sekali gus membolehkan pasukan itu memasuki rehat dengan kelebihan 2-1.
India kemudian meningkatkan tekanan selepas permainan bersambung dan memperoleh gol ketiga pada minit ke-42 menerusi Hardik Singh yang menyudahkan pukulan penalti stroke susulan kesalahan pemain Malaysia.
Deretan pukulan sudut penalti yang diperoleh India selepas itu terus menguji benteng Speedy Tigers, menyebabkan Malaysia lebih banyak bertahan dan sukar membina gerakan serangan seperti yang diharapkan.
Tekanan tersebut akhirnya membuahkan dua lagi jaringan buat India apabila Shilanand Lakra dan Harmanpreet Singh masing-masing menemui sasaran pada minit ke-54 dan ke-57 untuk menjadikan kedudukan 5-1.
Keputusan itu memastikan India membawa pulang emas serta tiket automatik ke Olimpik Los Angeles 2028, manakala Malaysia meraih perak dan mengulangi pencapaian sama yang dicatat pada edisi 2010 dan 2018.